BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, January 5, 2011

NILAI SEBENAR BAHASA MELAYU



Sudah beberapa kali saya, sebagai Sasterawan Negara, dan juga sebagai penulis puisi dan kritikan dalam bahasa Inggeris, diminta untuk menyatakan pandangan tentang penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran matematik dan sains. Izinkan kami menyampaikan beberapa pandangan yang telah saya hablurkan selama berpuluh tahun membawa ke dua-dua bahasa ini ke dalam jiwa dan kehidupan saya.

Bahasa Melayu bukan sahaja suatu alat komunikasi dan medium untuk mendapatkan ilmu, tetapi terkandung di dalamnya cara berfikir, konsep alam, nilai masyarakat serta ilmu tradisional, agama dan budaya Melayu / Malaysia dan juga jati diri, khususnya yang terjalin dalam semua jenis sastera - lisan dan tulisan. Dengan memberi tempat yang lebih dominan kepada bahasa Inggeris untuk bidang-bidang terdinamik maka kita merampas kemungkinan bahasa kebangsaan kita untuk menjadi bahasa besar dan serba-boleh. Sementara itu kita diingatkan kepada suatu kajian oleh Open University di London yang meramal bahawa dalam 30 tahun bahasa Melayu akan menjadi bahasa keempat terbesar di dunia. Oleh itu menjadi tanggungjawab kitalah dewasa ini untuk memupuk bahasa yang tua lagi indah ini supaya bila sampai pada waktunya bahasa ini sudah benar-benar menjadi bahasa dunia.

Di sebaliknya kajian ini juga mendapat bahawa bahasa Inggeris tidak akan lagi menjadi bahasa pertama di dunia, malah hanya mendapat tempat bahasa ketiga, iaitu selepas Mandarin dan Sepanyol.

Berikut ialah di antara hujah mengapa bahasa Melayu harus kembali dijadikan bahasa matematik dan sains di sekolah dan universiti;

1.Tujuan pencapaian penguasaan bahasa Inggeris di sekolah-sekolah di Malaysia boleh dibaiki dengan kaedah mengajar yang lebih baik dan sikap terhadap bahasa yang lebih sihat. Sekiranya kita merujuk kepada pengalaman negara Belanda maka kita akan temui contoh bagaimana bahasa Inggeris, Perancis dan Jerman hanya diperkenalkan pada peringkat sekolah menengah.
Tetapi oleh kerana cara pengajaran yang baik dan berkesan, maka selepas sekolah menengah pelajar-pelajar ini sudah boleh bercakap dan menulis dalam bahasa-bahasa ini dengan baik - lebih baik daripada pelajar Malaysia bercakap bahasa Inggeris (walau pun setelah 11 atau 13 tahun). Kita juga mungkin perlu merujuk kepada model pengajaran bahasa dari Denmark, Sweden dan Norway yang bangga dengan bahasa ibunda mereka sendiri tetapi dapat menggunakan bahasa antarabangsa lainnya dengan baik. Jadi contoh kita seharusnya bukan Singapura, tetapi Scandinavia, Belanda dan Belgium mahupun Switzerland.

2. Seperti sering diulang penghujah Pemenang Anugerah Nobel dalam semua bidang, termasuk sastera, bukan saja datang dari negara-negara berbahasa Inggeris, tetapi lebih banyak daripadanya daripada negara bukan berbahasa Inggeris - seperti Perancis, Jerman, Jepun, Sepanyol, Switzerland dan India / Bangladesh. Yang mencemerlangkan mereka bukanlah bahasa Inggeris tetapi ilmu yang baru, wawasan kemanusiaan dan eksperimen yang penuh tekun dan berterusan pula. Suasana ilmu adalah faktor penting yang menggerakkan mereka kepada kejayaan peringkat tinggi.

3. Beberapa masalah negara kita bukan berpuncakkan penguasaan bahasa Inggeris yang kurang cekap, tetapi kepada budaya kerja yang tidak rapi dan disiplin yang tidak ketat. Terdapat banyak negeri yang pernah dijajah Inggeris yang menggunakan bahasa itu sebagai bahasa di sekolah tetapi nampaknya agak kucar-kacir pentadbiran serta ekonomi dan ilmunya. Di sebaliknya di Malaysia Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah membawa kita jauh ke dalam dunia industri, sains dan teknologi serta ilmu.

4. Sekiranya kita tidak kembalikan bahasa Melayu kepada semua bidang ilmu maka kita, terutama kerajaan BN, akan dituduh sejarah sebagai pemusnah bahasa Melayu, sebuah bahasa yang lama dulu menjadi lingua franca daerah Asia tenggara dan untuk beberapa dekad lepas kemerdekaan bangkit dan kuat semula, hinggalah diturunkan darjatnya kerana arahan supaya menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa yang lebih penting, kerana bidang-bidang terpilih diajar dalam bahasa ini.

5. Dengan keputusan ini dan penggunaan bahasa Inggeris untuk bidang-bidang terpilih dewasa ini maka dengan sendirinya kita telah menciptakan dua jenis warganegara Malaysia - yang pertama; menguasai bahasa Inggeris dan bidang sains dan teknologi, dan seterusnya yang kedua, warganegara yang berbahasa Melayu dan menguasai bidang-bidang sastera dan sains sosial - iaitu bidang-bidang yang dianggap tidak penting dan lebih rendah darjatnya.

6. Saya menyokong dasar yang membuka mata dan ilmu pelajar kepada dunia yang luas, relevan dan kemas kini. Saya tidak membantah pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa, malah ingin mencadangkan bahawa lebih banyak bahasa antarabangsa diajar. Namun untuk perkembangan budaya dan jati diri bangsa Malaysia kita perlu mempunyai sebuah bahasa persatuan yang dipelajari, didalami dan dibanggai oleh seluruh rakyat Malaysia. Sementara itu kerajaan juga harus mengajar bahasa ibunda pelajar-pelajar ini di peringkat sekolah rendah supaya bahasa itu tidak pupus.

Dalam bandingan dengan warganegara Thailand atau Indonesia, rakyat Malaysia tidak menguasai bahasa kebangsaannya, tidak bangga dengan budayanya dan tidak jelas jati dirinya. Sebabnya, antara lainnya, ialah bahawa sastera dan budaya tidak menjadi mata pelajaran penting.

Bersama pengajaran bahasa Melayu yang teratur dan rapi pelajar harus diperkenalkan kepada karya-karya penting sastera Melayu di peringkat sekolah rendah dan menengah secara wajib. Inilah yang dilakukan di semua negara Anglo-saxon, Perancis, Jerman, China, Jepun dan Korea. Hanya di Malaysia anak-anak (dan sekarang ini orang dewasa) tidak pernah mengenali atau membaca karya agung leluhur mereka seperti Sulalatus al-Salatin, Hikayat Hang Tuah atau Tuhfat al-Nafis, yang banyak melukis bangsa Melayu / Malaysia, nilai-nilainya dan juga jati dirinya.

7. Sekarang ini bahasa Melayu sedang melemah di sekolah, di institusi pengajian tinggi, di peringkat negara, media masa dan kehidupan secara amnya. Sekiranya bahasa ini tidak diberikan ruang untuk hidup dalam dunia dan disiplin baru dan mencabar , dengan sendirinya bahasa Inggeris akan masuk menjajah kembali, dan kita kan menjadi tidak lebih dari pengguna dan peminjam bahasa dan konsep-konsep yang tersimpan dalam bahasa itu. Sementara itu konsep-konsep tempatan, keindahannya, muziknya akan hilang dari bangsa Melayu yang diamanahkan untuk mewarisinya.

Banyak lagi hujah yang dapat saya tuliskan. Tetapi hujah-hujah yang telah diturunkan ini, saya rasa mencukupi untuk kesempatan ini. Saya amat berharap bahawa bahasa kebangsaan kita akan kembali diberikan martabat ilmu, makna jati diri dan budayanya, seperti selayaknya sebuah bahasa besar dan tua.
Sesuatu bangsa yang tidak menghormati bahasanya biasanya tidak dihormati oleh bangsa lain yang menghormati bahasanya sendiri.

0 comments: