BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, January 5, 2011

BAHASA MELAYU DALAM ERA TEKNOLOGI MAKLUMAT

Bahasa Melayu dalam Era Teknologi Maklumat (Hassan Ahmad)
Pendahuluan

Kertas ini terdiri daripada dua bahagian. Bahagian pertama menjelaskan makna ‘era teknologi maklumat’ secara umum dan implikasinya terhadap manusia dan negara-bangsa. Bahagian kedua mengemukakan beberapa cadangan kepada Kongres. Masalah yang perlu kita selesaikan bukan masalah bahasa Melayu tetapi ialah dasar negara-negara terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa teknologi maklumat di dalam negeri ini, dan peranan, sumbangan serta tindakan perancang bahasa, para sarjana/ilmuwan dan pemikir berbahasa Melayu untuk menghadapi cabaran zaman teknologi maklumat itu. Saya menganggap bahawa cabaran besar teknologi maklumat bukanlah teknologinya tetapi ialah maklumat atau budaya yang disebarkan melalui teknologi itu.

Bahagian I : Maksud Era Teknologi Maklumat (TM), fenomena globalisasi dan Implikasinya

1. Dalam tahun 1960-an Marshall McLuban meramalkan bahawa dunia akan menjadi ‘kampung sejagat’ atau global village. Proses ‘pengampungan dunia’ ini kini disebut ‘pengglobalan’ atau ‘globalisasi’ (saya membezakan istilah ini dengan ‘pensejagatan’ atau ‘universalisme’). Kuasa atau factor yang bertanggungjawab menggerakkan proses ini banyak. McLuhan memikirkan faktor komunikasi yang dapat merentas sempadan dunia dengan kelajuan yang semakin pantas. Kini kuasa atau faktor yang sama sudah mencapai tahap perkembangan yang lebih canggih lagi, dalam bentuk yang disebut teknologi maklumat (TM). Seluruh dunia dikatakan sedang dirempuh, ditembusi, diasak dan dipengaruhi oleh berbagai-bagai jenis maklumat yang disebarkan ke seluruh dunia secara elektronik melalui ruang siber [istilah cyber pertama kali diciptakan oleh William Gibson dalam buku cerekaan sains komputernya  yang bertajuk Neuromancer]. Tetapi ada dua kuasa lain yang turut menggerakkan proses ini, iatu kuasa ekonomi pasaran bebas dan kuasa ‘demokrasi liberal’ ala-Barat.690   Kongres Bahasa dan Pensuratan Melayu V



2. Apakah kesan atau akibat proses globalisasi ini terhadap budaya manusiadan kuasa atau ‘kedaulatan’ negara-bangsa? Tiga kesannya yang sering disebut orang ialah, pertama, dunia dikatakan tidak akan bersempadan lagi. Oleh kerana maklumat disebarkan melalui ruang siber atau cyberspace, tidak melalui ruang bumi atau ruang geografi atau melalui media cetak semata-mata, maka orang mula percaya bahawa sempadan negara-bangsa yang selama ini dikawal oleh dasar politik, dasar budaya dan dasar maklumat masing-masing, sukar dikawal lagi. Maklumat yang disebarkan melalui internet yang kini merupakan sistem atau cabang lebuhraya maklumat elektronik atau electronic information highway1 yang terbesar dikatakan sukar ditapis atau dikawal oleh kerajaan. Manusia di mana-mana sahaja berpeluang menggunakan  dan menyebarkan apa sahaja maklumat untuk kepentingan mereka, sama ada dengan tujuan yang baik mahupun yang tidak baik, tanpa kawalan daripada mana-mana pihak, terutama pihak berkuasa kerajaan yang mengamalkan dasar kawalan maklumat yang konservatif. Kesan kedua ialah berlakunya proses ‘homogenisation’ atau proses ‘penyeragaman’ budaya kepenggunaan  dan nilai manusia. Dipercayai bahawa minda dan kelakuan manusia di seluruh dunia sedang dibentuk menurut peraturan dan sistem nilai yang sama, yang disebut’ peraturan dan sistem nilai sistem global’. Misalnya, manusia di mana-mana sahaja akan menggunakan teknologi dan bahan maklumat yang sama, menyerap nilai-nilai atau acuan demokrasi dan peraturan ekonomi yang sama, menonton serta menghayati hiburan yang sama, mendengar atau membaca berita dunia yang sama, menggunakan bahasa global yang sama, iaitu bahasa Inggeris yang pengaruhnya sebagai bahasa penyebar utama teknologi maklumat global semakin merebak.

0 comments: